Thursday, June 25, 2009

CINTA HAKIKI

"Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya (Allah dan Rasul), dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api".

Hadith di atas adalah sebuah hadith yang masyhur, diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang seharusnya memberi kesan yang mendalam kepada kita. Ia mempunyai makna agung yang menjadi landasan keimanan kita, tentang makna kecintaan kepada Allah swt dan Rasulullah saw, kecintaan satu sama lain di antara kita, dan keteguhan hati kita yang sangat kuat untuk tetap di atas jalan keimanan.

Tahap pertama yang harus tertanam dalam hati kita adalah cinta kepada Allah. Kecintaan yang menjadi salah satu unsur tujuan kewujudan kita di muka bumi, iaitu mengabdikan diri kepada Allah. Pengabdian atau ubudiyah kepada Allah tidak mungkin ada sehingga kita memiliki dua sifat yang saling melengkapi, iaitu sifat adz-dzill atau rendah, hina, kerdil di hadapan Allah dan sifat mahabbah atau cinta kepadaNya. Itulah yang pernah dinukilkan oleh Imam Ibnu Taimiyah ra ketika menjelaskan maksud ibadah,"

Ibadah yang diperintahkan Allah swt mengandungi makna dzill dan makna mahabbah. Yang dikehendaki oleh Allah swt adalah kemuncak sikap dzill dan mahabbah kepadaNya."(Kitab Al-Ubudiyah, Ibnu Taimiyah)

Kerana itu Rasulullah menjelaskan dalam hadith di atas, bahawa manisnya iman itu tidak mungkin dirasai kecuali dengan mencintai Allah dan RasulNya kerana itulah asasnya. Huraian Rasulullah yang lanjut dalam hadith ini semuanya kembali kepada kecintaan kepada Allah swt, sebagai landasannya. Cinta kepada Rasulullah adalah buah dari cinta pada Allah. Mencintai saudara seiman adalah buah dari cinta pada Allah. Kekuatan kita berpegang teguh pada petunjuk Allah, bertunjang dari landasan kecintaan kepada Allah.

Kecintaan pada seseorang kerana Allah juga berdiri di atas prinsip kedekatan kita kepada Allah. Kedekatan Allah terhasil dari sikap menyerah diri dan tunduk kepadaNya. Ertinya, semakin dekat dan tunduk kepada Allah, semakin memancarlah kecintaannya pada muslim yang lain.

Kalau kita perhatikan apa yang ditulis oleh Imam Ibnu Hajar ra, daripada apa yang dikatakan Al Baidhawi, "Ketiga-tiga hal dalam hadits itu adalah simbol dan tanda yang jelas bagi sempurnanya keimanan seseorang. Kerana bila seorang Muslim merenungi bahawa yang maha memberi nikmat hanyalah Allah, bahawa tidak ada yang Maha Mengizinkan dan Melarang selain Allah, bahawa Rasulullah saw adalah nabi yang diutus menjelaskan kehendak Allah, maka hasil dari itu semua adalah seorang itu tidak akan mencintai yang lain kecuali Allah. Dia tidak mencintai sesuatu melainkan kerana Allah. Dia juga harus yakin sepenuh hati apa yang dijanjikan Allah. Dia menganggap majlis2 zikir itu taman-taman syurga. Dia lalu menganggap kembali kepada kekufuran seperti menjerumuskan diri ke dalam neraka." (Disarikan dari kitab Fathul Bari Syarh Sohih Bukhori)Lalu, yang dimaksudkan dengan "halawatul iman" dalam hadith ini adalah suasana kenikmatan, ketenangan, lapang, kesejukan jiwa yang muncul dalam diri seorang mukmin ketika dia hal-hal itu.

Perhatikanlah lebih dalam, falsafah dari ungkapan "halawatul iman" itu. Rasa manis, enak dan lazat itu biasanya dikecap oleh lidah dari sesuatu yang lahir atau nyata. Sedangkan dalam hadith ini disebut untuk menggambarkan suasana hati dan jiwa kaum beriman terhadap sesuatu yang bersifat batin, tidak nyata. Bayangkanlah betapa dalamnya makna dari halawatul iman dalam hadith ini. Dengan berlatar belakangkan makna cinta seperti itulah, do'a Rabithah menyebutkan, "hati-hati kami berhimpun dalam cinta kepada-Mu". Itu kerana kecintaan kita kepada Allah, berbanding lurus dengan perhimpunan kita dalam jalan ini, sesama saudara dalam keimanan. Selanjutnya, ungkapan "hati-hati kami berpadu dalam ketaatan kepada-Mu," bererti ketaatan kepada Allah lah yang menyebabkan semakin kuatnya perpaduan hati-hati kita. Atau dengan kata lain, jika jauh dengan Allah, maka ikatan itu akan terlerai. "hati-hati kami bersatu dalam menyeru-Mu" bererti perpaduan hati kami ini juga telah terjadi kerana kami mengajak dan berdakwah untuk kembali kepada-Mu. Berdakwah menjadi syarat yang penting diperhitungkan dalam peranannya mempersatukan kita umat Islam. Amaliyah dakwah yang banyak akan semakin mempersatukan hati dan jiwa. Bila berkurang amaliyah dakwah, bererti potensi hambatan tautan hati dan jiwa akan semakin besar. Kemudian, "hati-hati kami saling berjanji untuk menolong syari'at-Mu", adalah komitmen yang sangat penting untuk menjalin kebersamaan hati dalam saling mencintai, dalam ketaatan, dalam do'a, dalam janji setia demi tegaknya syariat Allah.

Kesimpulan seluruh teks dalam do'a Rabithah ini adalah permohonan yang merujuk kepada al-quluub, atau hati-hati mereka yang membacanya. Dengan kata lain, seluruh permintaan yang ada dalam do'a Rabithah selanjutnya adalah rangkaian permintaan kepada Allah untuk membina hati-hati para pejuang dakwah, memberi bekal bagi hati para pejuang dakwah, dan meletakkan hati mereka dalam keredhaan Allah, hingga titik akhir kehidupan ini.

Secara tidak langsung, lafaz-lafaz itu menegaskan bahawa raabithatul qulub atau ikatan hati, jalinan jiwa, hubungan batun antara para pejuang dakwah merupakan syarat dan dasar utama yang sangat penting bagi berlangsungnya sebuah misi dakwah itu sendiri. Tanpa itu, dakwah mungkin saja berjalan, tapi akan direntangi fitnah, banyak dicemari konflik, mudah dikotori oleh perasaan mazmumah yang akhirnya menyulitkan tujuan dakwah itu sendiri.

Semoga Allah mempermudahkan urusan orang-orang yang saling mencintai kerana-Nya. Allah mendatangkan jalan keluar dari urusan orang-orang yang saling mencintai kerana-Nya, dari arah yang tidak diduga-duga. Sebelum melangkah lebih jauh, mari tumbuhkan cinta dan kasih sayang sesama kita, sesama kaum muslimin seluruhnya. Amiin..

Jiwa Rabithah yang Hilang.. Sebelum Melangkah Lebih Jauh, Mari Kuatkan Ikatan Cinta Kita

Wednesday, June 24, 2009