Sunday, March 8, 2009

BERMULA DARI PANDANGAN

Assalamualaikum. Kutujukan coretan ini untuk mereka yang telah kering untuk merasai kemanisan iman dan juga kepada mereka yang telah menderita oleh panahan syaitan lalu dirinya dirundung kehinaan dan kerunsingan.
Untuk mereka ini kutujukan beberapa kalimat supaya mereka tahu bahawa di sana ada satu pemandangan yang lebih Nikmat iaitu nikmat dan lazatnya melihat wajah Allah swt.
Berapa ramai di kalangan pemuda muslim yang sedang duduk di tepi jalan sambil mata mereka menumpukan pandangan kepada sesuatu yang diharamkan oleh Allah. Dia tersenyum seorang diri seolah-olah tidak tahu bahawa perbuatanya itu adalah dosa.
Berapa ramai yang menonton televisyen yang menyiarkan wanita-wanita yang berpakaian tidak menutup aurat dan langsung tidak merasa dia sedang berada di salah satu pintu maksiat. Dan sudah tentu ramai manusia kini duduk menghabiskan masa di hadapan internet untuk melihat laman-laman web yang beracun. Tidak kurang juga mahasiswa mahupun mahasiswi yang asyik memandang kepada kaum bukan sejenis mereka di universiti.
Ini semua merupakan simpulan awal yang akan menjerat mereka semua. Renungan untuk yang mudah lupa, Abdullah bin Masud pernah menyebut tentang perkara ini setelah melihat seorang lelaki menjatuhkan pandangannya ke arah seorang wanita yang bukan muhrim,: "Sekiranya engkau menahan pandangan engkau, itu lebih baik untuk dirimu."Juga kisah seorang pemuda yang menuju ke Madinah untuk berjanji setia dengan Rasulullah saw. Setibanya di Madinah, dia telah melihat seorang wanita Ansar. Apabila baginda Nabi saw mengetahui tentang perkara ini, baginda enggan menerima janji setia daripada pemuda ini sehingga dia berjanji untuk tidak mengulangi perbuatannya tadi selama-lamanya.
Seorang sasterawan Arab pernah bermadah: Daripada pandangan seterusnya senyuman, dan ucapan salam, dan saling berbual, dan berjanji temu, akhir sekali bertemu. Dan selepas pertemuan itu, kita tidak mampu untuk mengagak apa yang akan berlaku seterusnya melainkan ia adalah maksiat yang amat keji.
Lupakah kita kisah seorang pemuda yang selama usianya menjadi muazzin untuk menyeru manusia mengerjakan solat? Setelah menghampiri penghujung usianya, dia naik ke atas bumbung masjid seperti biasa untuk melaungkan azan. Apabila berada di atas, dia terlihat seorang wanita Kristian yang sangat cantik dan menawan rupa parasnya. Lalu dia segera turun untuk menemui wanita itu dan menyatakan hasratnya untuk mengahwininya. Wanita itu meletakkan syarat iaitu dia mestilah meninggalkan agama Islam. Jiwa yang sedang dirasuk cinta terus setuju dan dia pun mengucapkan kalimah kufur. Setelah itu dia terus menaiki tangga rumah wanita itu, lalu jatuh dan terus meninggal dunia dalam kekufuran.
Hanya bermula dengan pandangan.Mereka yang dibelenggu dengan rantai pandangan ini sering berjalan di tengah orang ramai sambil matanya memandang wajah-wajah wanita dan mereka terus memandang. Juga mereka yang duduk di tepi tingkap bilik samada di rumah, pejabat, kampus universiti atau di mana sahaja, mereka pun melihat sesiapa sahaja yang menarik hati mereka. Mereka menyangka bahawa tiada siapa yang tahu tentang perbuatan mereka itu. Mereka lupa atau tidak pernah membaca ayat Al-quran:" Tidakkah mereka tahu bahwa Dia mengetahui segala yang diciptaNya dan Dia lah Maha Penyantun dan Maha Mengetahui" (Al-Mulk:14) .
Jagalah pandanganmu! !! Ini bukanlah seruan dari seorang manusia, bahkan arahan daripada Pentadbir Langit dan Bumi. Allah berfirman: "Katakan kepada orang yang beriman, tundukkan pandangan mereka dan jagalah kemaluan mereka, ini lebih suci bagi mereka" (An-Nur:30) Jika anda beriman taatilah arahan TuhanMu. Juga wasiat daripada Kekasih kita semua, Rasulullah saw kepada Saidina Ali r.a : "Wahai Ali, Jangan kau turuti pandangan dengan pandangan, sesungguhnya pandangan pertama untuk engkau(dimaafkan) , dan yang selainnya bukanlah untukmu(dosa yang akan dipersoalkan) " (Riwayat Ahmad dan Abu Daud).
Pandangan adalah Hutang. Setiap pandangan yang haram adalah hutang ke atas dirinya. Ini bermaksud, jika dia suka memandang kepada semua wanita yang dia temui, maka Allah akan jadikan untuknya manusia-manusia lain juga suka melihat kepada adik perempuannya, ibunya, dan isterinya. Inilah seperti mana yang dia lakukan kepada manusia lain. Sukakah kita keadaan ini terjadi?

No comments:

Post a Comment